Permatang Pauh kerusi tradisi Anwar
PERMATANG Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.
Namun sejak 1998, kerusi itu disandang oleh Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004.
Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kersui Parlimen di Pulau Pinang, memang ‘panas’ sejak 1999.
Majoriti pengundi kawasan ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 68.5 peratus atau 40,039 daripada 58,449 pengundi kawasan itu, diikuti oleh kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus dan India 3,581 orang (6.3 peratus) serta lain-lain 240 orang (0.41 peratus).
Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Kerusi Dun Seberang Jaya, yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, mempunyai 22,678 pengundi iaitu Melayu 14,163 orang (62.36 peratus), Cina 5,436 (23.97 peratus), India 2,978 (13.13 peratus) dan lain-lain 122 (0.54 peratus).
Kerusi Dun Permatang Pasir yang diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS mempunyai 20,350 pengundi iaitu Melayu 14,715 orang (72.31 peratus), Cina 5,278 (25.94 peratus), India 328 (1.61 peratus) dan lain-lain 29 (0.14 peratus).
Kerusi Dun Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR mempunyai 15,421 pengundi iaitu Melayu 11,181 orang (72.51 peratus), Cina 3,776 (24.49 peratus), India 375 (2.43 peratus) dan lain-lain 89 (0.57 peratus).
Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu Wan Azizah mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 13,388 undi.
Namun, 31 Julai lalu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.
Dalam pada itu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.
Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.


