Permatang Pauh: Reaksi pemimpin Umno/BN
BEKAS perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad ketika ditanya mengenai tindakan Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh, berkata: “Sesungguhnya…, itulah yang sebaik-baiknya dilakukan oleh seorang isteri penyayang.”
Dr Mahathir berkata demikian pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas di ibu negara, ketika mengulas pengumuman Wan Azizah untuk memberi laluan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali aktif dalam politik.
Sementara itu beberapa pemimpin BN memberi reaksi negatif mengenai pengunduran Wan Azizah daripada jawatannya sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh.
Di TUMPAT, Kelantan, Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen berkata tindakan Wan Azizah melepaskan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh sebagai mengkhianati rakyat.
Ng, yang juga berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tindakan itu dilihat sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.
“Saya tidak terkejut dengan tindakan presiden PKR itu kerana sebelum ini pun kita sudah maklum beliau hanya pegang sementara untuk suaminya tetapi beliau sepatutnya menghormati mandat yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Minda Insan di Tumpat, Kelantan.
Di PULAU PINANG, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid juga sependapat dengan Ng.
“Pengundi bersusah payah mengundi beliau tetapi dengan senangnya dia mengkhianati mereka. Bila dah menang, letak jawatan dan bagi pada suaminya pula bertanding.
“Tindakan sedemikian juga dilihat sebagai satu pembaziran kerana perbelanjaan untuk mengadakan pilihan raya kecil bukannya sedikit. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan,” katanya.
Di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan Dr Wan Azizah itu adalah lambang kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.
Katanya perkara itu sudah lama dijangkakan berikutan tindakan Anwar sendiri yang sering membuat pengumuman bahawa beliau akan kembali bertanding pilihan raya.
“Itu menunjukkan kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.. itu sangat bagus. Selamat maju jaya kepada beliau (Anwar),” katanya.


